MLM dari perspektif Fiqh Islami

‘Multi Level Marketing’ (MLM) adalah salah satu strategi pemasaran yang digunakan secara meluas kini. Walaupun MLM berteraskan jualan langsung, tetapi sistem dan perjalanan antara MLM tertentu dengan yang lain adalah berbeza.

Justeru, hukum halal dan haram MLM tidak boleh diukur kepada namanya sahaja, tetapi ia mesti dilihat perjalanan MLM itu sendiri. Ini kerana, hukum sesuatu perkara berkait rapat dengan hakikatnya.

Untuk mengukur MLM dari perspektif Islam, kita perlu melihat beberapa sudut seperti hukum asal MLM, faktor yang mengharamkannya dan cara untuk keluar daripada unsur-unsur haram itu.

MLM dari sudut positif

Jika dilihat sudut positif, MLM berperanan ‘pemecah’ kepada pemonopolian pasaran bagi sesetengah produk. Tanpa disedari, barangan orang Islam tempatan hampir tiada di pasar raya di negara kita hatta pasar kecil atau kedai runcit. Sedangkan sebahagian produk orang Islam tempatan mempunyai mutu yang baik dan terjamin halalnya.

Apabila orang Islam yang mampu mengeluarkan produk tersendiri, tetapi apabila berdepan pasaran yang sebahagiannya boleh disifatkan sebagai ‘dibentengi’ menyebabkan kemampuan orang Islam mengeluarkan produk akhirnya terhenti akibat tidak dapat bersaing dengan pengeluar lain dari sudut pemasaran.

Hakikatnya orang Islam yang mempunyai keupayaan menghasilkan produk mempunyai modal kecil berbanding syarikat gergasi antarabangsa serta mereka tidak mampu menanggung kos pemasaran yang tinggi berbanding syarikat gergasi yang lain.

Akhirnya mereka berdepan kelembapan pasaran seterusnya keupayaan dan potensi orang Islam yang sepatutnya boleh dibangun dan dipertingkatkan mati begitu sahaja. Lebih parah apabila kerajaan membuat perjanjian FTA dan serangan globalisasi yang menyebabkan persaingan tidak adil antara pemodal besar dan peniaga kecil.

MLM dari sudut positifnya boleh menjadi strategi pemasaran bagi memecahkan pasaran yang dibentengi tembok tertentu. Ia berguna bagi memperkenalkan produk terutamanya produk halal orang Islam tempatan.

Justeru, MLM perlu dilihat dari sudut positif dan kita sepatutnya sama-sama berusaha memperbaikinya supaya bertepatan dengan syariat sehingga sistem MLM dapat menjadi penyumbang kepada pemasaran barangan orang Islam.

Hukum asal MLM

Hukum asal bagi setiap muamalat adalah harus selama mana tidak terdapat dalil dan faktor yang mengharamkannya. “Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.” (maksud al-Baqarah 29).

Hukum asal bagi segala sesuatu adalah harus. Berdasarkan kaedah ini, hukum asal sistem dan konsep MLM adalah harus selama mana tidak terdapat faktor yang mengharamkannya. Untuk menghukumkan sesuatu muamalat sebagai haram mestilah bersandarkan dalil. Selama mana tidak terdapat dalil dan faktor haram, maka selama itu muamalat tersebut kekal harus.

Dengan kata lain, keharusan sesuatu muamalat seperti MLM tidak memerlukan dalil, sebaliknya pengharaman sesuatu muamalat memerlukan kepastian dan sandaran dalil yang kuat, seperti haramnya sesuatu muamalat kerana kepastian terdapat riba di dalamnya di mana riba adalah haram secara putus dan ijmak di kalangan ulama.

Berdasarkan kaedah syariat, pengharaman sesuatu yang asalnya harus tidak boleh bersandarkan kepada hukum khilafiah, kecuali ketika penggubalan undang-undang. Contohnya, jika ulama khilaf berkenaan dengan Ghabnun dan ‘had maksimum keuntungan’, maka kita tidak boleh mengharamkan MLM disebabkan harganya yang tinggi berbanding barangan lain.

Oleh itu, untuk mengukur sesuatu muamalat halal atau haram memerlukan kepada:

1. Memastikan benar-benar terdapat unsur haram di dalamnya seperti pemastian bonus yang diagihkan berasaskan perjudian yang akhirnya menyebabkan muamalat tersebut haram.

2. Unsur tersebut hendaklah haram secara putus dari sudut syariat. Seperti unsur riba, unsur perjudian, unsur kezaliman dan sebagainya. Sebaliknya, tidak boleh kita menghukumkan haram sesuatu muamalat jika ia bersandarkan kepada unsur yang khilafiah dari sudut halal dan haramseperti muamalat yang berasaskan kepada bai’ ‘inah, ghabnun yang tidak faahish dan seumpamanya.

Perlu difahami asas kepada muamalat ialah mudah dan toleransi. Berbeza dengan asas kepada ibadat yang bersandarkan kepada ikutan dan ta’abbudi.

Justeru, talfik mazhab atau penggabungan mazhab dalam muamalat adalah dibenarkan berbeza dengan talfik dalam ibadat di mana hukum talfiknya lebih ketat berbanding talfik dalam muamalat.

Faktor-faktor haram

Selama mana sesuatu muamalat tidak dimasuki unsur dan faktor haram, maka hukumnya harus sebagaimana asal. Setakat ini faktor haram di sebalik MLM ialah:

1. Perjudian

Perjudian yang terdapat dalam sesetengah MLM dinamakan judi ‘21 up’. Judi ‘21 up’ bermaksud, setiap yang terlibat di dalam perjudian tersebut mempertaruhkan sejumlah wang tertentu seperti setiap penjudi mempertaruhkan RM10. Selepas pengagihan daun terup dan kiraan mata dikumpulkan, maka penjudi pertama yang dapat mengumpulkan sebanyak 21 mata akan mengambil semua wang yang dipertaruhkan.

Konsep ini diamalkan dalam sebahagian MLM bagi memberi bonus yang tinggi kepada orang yang mencapai point tertinggi atau jualan tertinggi dalam sesuatu level. Contohnya, andai kata dalam level ketiga terdapat 3 orang menjual ubat gigi yang harga jualannya RM5. Daripada RM5 itu, syarikat mengambil RM3 sebagai kos dan untung, manakala penjual MLM mendapat RM1 daripada setiap unit yang dijual. Baki RM1 dipegang syarikat untuk diberikan kepada orang pertama dalam level tersebut yang mencapai tahap jualan sebanyak 5 unit.

Jika penjual pertama berjaya menjual 3 unit, penjual kedua sebanyak 2 unit dan penjual ketiga sebanyak 5 unit, maka penjual ketiga akan memperolehi bonus RM10 kerana dia adalah orang pertama dalam level tersebut mencapai jualan 5 unit.

Hakikatnya, RM5 daripada RM10 bonus itu adalah hak penjual pertama (RM3) dan hak penjual kedua (RM2) yang dipegang syarikat yang akhirnya diserahkan kepada penjual ketiga kerana berjaya mencapai jualan target.

Bonus dalam bentuk ini secara pastinya adalah perjudian yang diharamkan Islam kerana si penjual pertama dan si penjual kedua dinafikan haknya kerana kalah, justeru tidak mencapai jualan ‘target’. Sedangkan konsep keuntungan dalam muamalat Islam yang berpandukan surah al-Baqarah ayat 286 ialah, ’setiap yang berusaha berhak mendapat hasil yang diusahakan’.

Bagaimanapun, perjudian yang mencemari MLM ini dapat dibersihkan dengan pelbagai cara seperti pembahagian bonus, bersumberkan keuntungan syarikat yang diagihkan kepada setiap penjual MLM berpandukan unit yang berjaya dijual.

Walaupun bonus yang berkonsepkan pembahagian yang berpandukan jumlah jualan tidak dapat dijadikan bahan kempen kerana jumlah bonus penjual tertinggi lebih rendah berbanding bonus yang berkonsepkan perjudian, tetapi ia bersifat adil untuk semua pihak.

Sememangnya sebahagian pembuat sistem MLM lebih tertarik dengan bonus yang berkonsepkan perjudian kerana ia boleh dijadikan bahan untuk menarik orang ramai menyertainya justeru nilaiannya yang sangat tinggi, tetapi ia diharamkan kerana nilai yang tinggi tadi diperolehi dengan menzalimi pihak lain.

2. Riba

Apabila terdapat ‘fixed return’ atau janji kemasukan tetap dalam sesuatu sistem MLM, maka ia adalah riba yang diharamkan. Contohnya, setiap ahli yang menyertai rangkaian MLM mestilah membayar yuran RM50. Setelah ia menjadi ahli dengan pembayaran yuran, maka ia berhak mendapat RM5 setiap bulan sebagaimana dijanjikan syarikat di samping keuntungan jualan atau keuntungan melalui poin penggunaan produk MLM.

‘Fixed return’ tersebut adalah riba yang mencemarkan keharusan sistem MLM. Jelasnya, ‘fixed return’ ini juga diadakan guna untuk menarik orang ramai menyertai rangkaian MLM tersebut. Bagaimanapun, sistem MLM yang dicemari riba ini boleh dibersihkan melalui pelbagai cara.

Contohnya agihan keuntungan berdasarkan mata penggunaan melalui konsep mudharabah, dimana setiap ahli yang membeli adalah mudhorib (pencarum) yang berhak mendapat peratusan keuntungan syarikat MLM dalam tempoh setahun sebagai contoh. Cara ini bersih daripada riba dan boleh menarik orang ramai menjadi ahli MLM ini.

3. Tadlis, taghrir dan Syamta’

Tadlis bermaksud memalsukan, taghrir bermaksud memperdayakan dan syamta’ pula bermaksud ‘make up’ hamba yang hodoh sehingga kelihatan cantik dengan tujuan memperdayakan pembeli.

Contohnya, syarikat yang berkempen menarik keahlian dengan mengeluarkan buletin yang mempamerkan ahli yang dihadiahkan bonus kereta BMW 3 Series. Ahli dan orang ramai yang melihat buletin tersebut secara umumnya memahami syarikat menghadiahkan kereta tersebut kepada ahli berkenaan tanpa bayaran-bayaran tambahan. Sedangkan syarikat hanya membayar muka pendahuluan RM1,000 untuk diserahkan kepada ahli yang diiklankan sebagai paling cemerlang.

Apabila ahli tersebut menerimanya, ia terpaksa menanggung ansuran bulanan yang tinggi yang akhirnya menyebabkan ahli tadi hanya mampu memakai kereta tersebut dalam tempoh dua hingga tiga bulan.

Syarikat berjaya mengiklankan si ahli tersebut berjaya mendapatkan BMW 3 Series tanpa menjelaskan keadaan sebenar syarikat yang hanya membayar down payment RM1000. Apabila diiklankan ‘dihadiahkan’ atau ‘menerima hadiah’ atau ‘berjaya memperolehi’, umum memahami si ahli memperolehi secara seratus peratus kereta tersebut tanpa apa-apa ansuran bulanan.

Menyembunyikan hakikat pembayaran RM1000 sebagai down payment pastinya bersalahan dengan pemahaman umum. Ini menyebabkan pengiklanan tadi boleh dikategorikan sebagai ‘taghrir’ (memperdayakan) dalam bentuk ‘Syamta’ yang diharamkan.

Syamta’ ini boleh dibersihkan melalui pelbagai alternatif. Syarikat boleh menganjurkan majlis penyampaian bonus yang halal kepada ahli-ahli yang mencapai jualan tertinggi dan diiklankan dalam buletin. Sekalipun iklan dalam bentuk ini tidak semenarik iklan ahli yang mendapat BMW 3 Series, tetapi ia berupaya menarik ahli baru dalam bentuk tidak memperdayakan dan tidak menghiasi sesuatu hakikat yang tidak benar.

4. Mengambil hak orang lain dengan cara yang salah

Terdapat MLM yang sistemnya berkonsepkan kutu yang haram seperti penggunaan konsep ‘Auto Placement’. Dalam konsep ‘Auto Placement’ ini, ahli pertama perlu mencari dua ahli di bawahnya dan setiap ahli dikenakan yuran RM2. Yuran RM2 tadi terkumpul dan akan dinikmati ahli yang awal sehinggalah yang pertama terkeluar dengan masuknya ahli baru.

Konsep ini asalnya bukan sistem MLM bahkan ia konsep kutu yang haram. Tetapi ada sistem MLM menggunakan kaedah kutu yang haram ini bagi penetapan yuran keahlian dan jumlah yuran ahli yang terkumpul dijadikan bonus bagi level yang paling tinggi.

Di sini, syarikat MLM yang menggunakan konsep ini tidak mementingkan barang, tetapi ia mementingkan keahlian kerana bonus yang diperolehi ‘upline’ adalah yuran ahli yang terkumpul. Ini punca sesetengah barangan yang tidak jelas dalam sebahagian MLM.

Jika ada bertanya, apa salahnya jika pembayaran yuran berasaskan reda sebagaimana dalam hukum hibah dan tabarru’? Jawapannya, reda yang menjadi syarat halal tersebut mesti didahului atau disertai perniagaan halal sebagaimana ayat 29, an-Nisaa’. Jika tiada perniagaan, iaitu wang yang dikeluarkan hanyalah berbentuk yuran terkumpul yang dipusingkan di kalangan ahli tanpa ada apa-apa pertukaran, maka reda tidak boleh menjadi sebab untuk menghalalkannya.

Tambahan pula, hibah dan tabarru’ yang halal dan harus tidak boleh disertai dengan tujuan seperti hibah untuk mendapatkan untung, dan sebagainya. Jika hibah dengan niat ini, ada pendapat yang menyatakan batal dan ada menyatakan ia berubah menjadi transaksi jual beli atau seumpamanya dan bukan lagi hibah sebenar.

Jika berpandukan pendapat yang menyatakan batal, maka penyertaan dalam MLM yang bersifat seperti ini adalah batal. Dan jika berpandukan pendapat hibah dengan niat mendapatkan keuntungan ini berubah menjadi hukum jual beli, maka tuntasnya jika ketiadaan barang yang menjadi pertukaran maka hukumnya adalah haram kerana si pemakannya memakan hak orang lain tanpa sebab yang harus sebagaimana konsep kutu yang haram di atas.

Bukan semua hibah hukumnya harus bahkan kadangkala hibah menjadi haram seperti hibah yang menjadi syarat pinjaman yang dikategorikan sebagai riba yang haram.

5. Penindasan

Bagi sesetengah sistem MLM, ia mensyaratkan jumlah jualan tertentu bagi mendapatkan keuntungan. Sebagaimana diterangkan, ahli-ahli yang tidak mencapai jualan ‘target’ akan dicabut bahagian keuntungannya dan pihak syarikat akan memberikan kepada orang yang mencapai jualan ‘target’.

Seorang ahli yang berjaya menjual 5 produk yang sepatutnya mendapat keuntungan asal bagi setiap satunya berjumlah RM2, tetapi ahli tersebut hanya diberikan RM1 kerana tidak berjaya mencapai jualan ‘target’ dan baki RM1 diambil syarikat untuk diserahkan kepada ahli satu level yang berjaya mencapai jualan target.

Ini bermakna, ahli yang berjaya menjual 5 produk diberikan RM5 dan RM5 lagi diserahkan kepada ahli yang berjaya mencapai jualan ‘target’ seperti berjaya menjual 10 produk. Justeru, ahli yang berjaya menjual 10 produk mendapat RM25 (RM20 untung jualan dan ditambah bonus RM5 yang diambil daripada ahli yang tidak dapat mencapai jualan ‘target’).

Di samping mengandungi unsur perjudian, ia juga mengandungi penindasan yang menjadi punca haram. Sedangkan konsep muamalat Islam ialah, setiap seseorang berhak mendapat apa yang ia usahakan. Berdasarkan konsep Islam ini, si ahli yang berjaya menjual lima produk sepatutnya mendapat RM10 sebagaimana ahli yang berjaya menjual 10 produk mendapat RM20.

Apakah alternatifnya?

Sebenarnya, Islam hanya menyenaraikan unsur-unsur haram sahaja dan selainnya halal. Ada ulama hanya menyimpulkan sebab-sebab haram hanya tiga perkara, iaitu riba, gharar dan zalim. Jika sesuatu muamalat bersih daripada ketiga-tiga unsur ini, maka hukumnya halal.

Justeru, alternatif kepada unsur-unsur haram ini terlalu banyak jika dibincangkan secara serius dan bersama. Contohnya, jika ‘upline’ haram mendapatkan bahagian yuran ‘downline’ kerana ia termasuk dalam kategori ‘memakan harta orang lain secara batil’ seperti bentuk yang diterangkan, pihak syarikat boleh menyediakan jumlah tertentu sebagai kos marketing untuk diberikan kepada ‘upline’ yang berjaya mencari ‘downline’ atau ahli pengguna baru dengan perincian tertentu.

Berdasarkan konsep Islam, ‘upline’ boleh mendapatkan bahagian upahnya mencari pengguna baru kerana itu hasil usaha dan titik peluhnya, tetapi disyaratkan perolehannya tadi bukan dengan cara memakan hasil orang lain.

Justeru, apabila disebut ‘upline’ haram mendapatkan bahagian yuran ‘downline’ maka kita memahami bahawa ‘upline’ tidak berhak mendapat apa-apa. Ini menatijahkan ‘upline’ yang bertindak sebagai pekerja marketing tidak akan melakukan kerja promosi dan akhirnya syarikat tidak berkembang dan barangan produknya akan mati begitu sahaja.

Unsur haram pada MLM tanpa disusuli usaha mencari alternatifnya akan mematikan sebahagian pembangunan produk orang-orang Islam dalam konteks dan suasana ekonomi kita sekarang.

Pakar-pakar ekonomi yang mencipta sistem MLM jangan berputus asa apabila sistemnya disifatkan haram atau mengandungi unsur haram. Mereka mestilah meningkatkan usaha dan meninggikan semangat melalui perbincangan dengan ulama berkebolehan di lapangan ekonomi dan muamalat Islam bagi mencari jalan penyelesaian kepada perkara-perkara buntu serta alternatif kepada unsur-unsur haram.

Sikap, tindakan dan peranan umat Islam

Tidak boleh cepat menghukum: Apabila diperhatikan unsur haram yang disenaraikan di atas, kita dapati sebahagiannya hanya diketahui pihak yang menggubal sistem MLM itu sendiri. Contohnya hakikat kepada sumber bonus yang diagihkan hanya diketahui oleh pembuat sistem MLM sahaja sekalipun terdapat beberapa petunjuk yang menjadi ukuran kepada sumbernya.

Sikap kita sebagai pemerhati tidak boleh terlalu cepat menghukum halal atau haram sesuatu MLM melainkan melalui penyelidikan atau terdapat sebab yang jelas keharamannya. Ini dari sudut kita sebagai pemerhati yang tidak terlibat dengan sistem MLM.

Tidak terlibat dalam perkara yang tidak jelas: Jika kita ingin menyertai, sepatutnya kita mengetahui dengan jelas apakah sumber bonus yang bakal kita perolehi, apakah punca pengembangan modal yang dilaburkan dan sebagainya. Jika ia tidak jelas dan masih keliru dengan sistem atau rangkaian MLM, ia tidak sepatutnya melibatkan diri.

Tidak terpedaya dengan kempen ‘cepat kaya’: kadangkala faktor yang menjebakkan seseorang ke dalam rangkaian MLM yang haram disebabkan keghairahan keuntungan yang ditawarkan. Sepatutnya kita perlu berfikir rasional dan logik kerana ulama Islam menggariskan sebab-sebab pulangan di dalam lingkungan tiga perkara: modal, kerja dan dhoman.

Jika sesuatu keuntungan yang dijanjikan bukan selain daripada tiga perkara tadi, sama ada ia menyebabkan kita akan tertipu atau akan mengalami kerugian atau memang benar-benar mendapat untung sebagaimana yang dijanjikan tetapi keuntungan tadi dibina di atas kezaliman dan penindasan terhadap orang lain.

Bantu membantu dalam kebaikan: Kita perlu membantu ekonomi orang-orang Islam dengan membeli barangan keluaran mereka sekalipun harganya lebih mahal dan mutunya mungkin lebih rendah.

Ini kerana, modal yang dimiliki orang Islam lebih rendah berbanding bukan Islam, menyebabkan kos pengeluaran dan pemasaran lebih tinggi berbanding mereka yang bermodal besar seterusnya menyebabkan harganya tidak mampu diturunkan lebih rendah daripada produk antarabangsa yang kuantiti pengeluaranya lebih banyak dan pasarannya lebih meluas.

Jika orang Islam tidak membantu dan hanya memilih barangan lebih murah dan bermutu tanpa melihat kepada ‘konsep membantu orang Islam’, ia akan melenyapkan produktiviti orang Islam dan menyuburkan produktiviti orang bukan Islam.

Jika orang Islam bersabar dengan menjadi pengguna tetap kepada produk keluaran orang Islam sekalipun harganya lebih tinggi dan mutunya lebih rendah berbanding produk antarabangsa yang bukan Islam, maka ia dapat meningkatkan mutu keluaran orang Islam dan membantu menurunkan harga barangan tersebut apabila keupayaan meningkatkan kuantiti pengeluaran produk orang Islam bertambah dengan sokongan kita melalui pembelian dan menjadi pengguna tetap.

Penutup

Hukum asal MLM harus kecuali apabila dimasuki faktor-faktor haram. Dari sudut positif, sistem MLM boleh bertindak sebagai pemecah kepada tembok monopoli pasaran seterusnya membantu orang Islam mengembangkan produk mereka. Justeru, pembinaan ini mestilah digabungkan antara kepakaran ahli-ahli ekonomi dan perniagaan dengan ulama-ulama yang berkebolehan dalam bidang ekonomi dan muamalat Islam.

Pembaikan sistem MLM supaya bertepatan dengan syariat sebagai strategi pemasaran produk orang Islam amat penting dalam keadaan dan suasanan negara yang semakin membuka pintu globalisasi ekonomi, terutama ketika berdepan FTA. Pengemblengan tenaga antara ulama dan ahli perniagaan amat penting bagi memastikan kemajuan ekonomi umat Islam.

 

Sumber : Harakah Daily

Popularity: 66% [?]

Isu Syariah Dalam Perniagaan MLM

Oleh : Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman (www.zaharuddin.net)

Jualan Pelbagai Peringkat atau lebih dikenali sebagai ‘Multi Level Marketing’ atau MLM adalah amat popular di Malaysia. Dalam pada masa yang sama, sistem yang sama juga digunakan oleh industri penjualan Saham Amanah Islam dan beberapa produk Takaful. Statistik tahun 2003 menunjukkan industri MLM Malaysia mencatatkan jualan RM 4 bilion dan lebih dari 3 juta orang Malaysia terlibat dalam urusniaga MLM.

Akibat dari kebanjiran produk dan syarikat yang menggunakan sistem ini dalam mempromosi dan penjualan produk mereka. MLM kini boleh dianggap sebagai sebuah sistem pemasaran yang diterima ramai. Bagaimanapun, amat jarang dijumpai ilmuan Syariah samada dalam atau luar negara yang ingin atau berminat untuk menghuraikan sistem ini dari aspek Shariah dengan terperinci dan konkrit. Ini mungkin disebabkan kerumitan atau kurangnya minat ilmuan Syariah untuk mendalami proses sistem ini.

Para ‘Ustaz’ dan Multi Level Marketing

Saya juga tidak dapat lari dari dibanjiri soalan demi soalan berkenaan hal ini. Pada awalnya, saya cuba untuk mengelak disebabkan terlampau banyak bentuk dan jenis MLM ini hingga menyukarkan sesiapa juga untuk memandu dan menerangkan hukumnya secara jelas. Di tambah pula mengenagkan pengikut dan pengamalnya yang terlalu ramai dan kebanyakkannya pula kelihatan ‘taksub’ dan amat yakin akan halalnya kaedah MLM ini.

Tidak kurang juga terdapat para graduan Syariah atau pengajian Islam yang digelar ‘Ustaz’ dan Ustazah’ yang juga kuat berkempen produk-produk syarikat dengan skim MLM. Lebih hangat dan meriah lagi, kumpulan ini kerap mendakwa ianya halal lalu diselitkan dengan pelbagai dalil Al-Quran dan Hadith yang menggalakkan umat Islam berniaga, kuat ekonomi dan lain-lain. Hakikatnya, dalil-dalil ini bukanlah khusus untuk menyokong MLM dan perniagaan piramid mereka.

Ikhlas saya ingin nyatakan di sini, agak ramai juga orang ramai yang terpengaruh dengan kempenan dari kumpulan ilmuan agama seperti ini, menyebabkan orang ramai menyertainya tanpa berfikir lagi berkenaan halal atau haramnya sesuatu produk itu kerana ia telah diiktiraf oleh seorang ‘ustaz’. Justeru, saya ingin menasihatkan semua rakan-rakan lulusan Syariah dan Pengajian Islam agar lebih berhati-hati memberikan sebarang hukum dan merujuk dengan lebih mendalam sebelum berkempen dan mendakwa halalnya sesuatu produk hanya semata-mata kerana ia mendapat keuntungan besar di dalamnya. Ini kerana agak ramai juga saya dapati orang ramai yang berkiblatkan ustaz tertentu dalam kempen MLM mereka. Berkatalah Al-Laith bin Sa’ad : « Seandainya orang-orang yang memiliki pemahaman halal dan haram meneliti masalah ini, pastilah mereka tidak akan membolehkannya kerana terdapat di dalamnya unsur perjudian » ( Riwayat Al-Bukhari, no 2346 ). Sayyidina Umar al-Khattab r.a telah mengingatkan:

لا يبع في سوقنا إلا من قد تفقه في الدين

Ertinya : “Jangan seseorang kamu berjual beli di pasar kami, kecuali ia telah mendalami ilmu (hukum) agama tentangnya” ( Riwayat Tirmidzi, no 487, hlm 129 ; Albani : Hasan)

Bagi membantu masyarakat yang semakin ‘hangus’ dalam industri ini, saya merasakan adalah elok untuk saya berkongsi panduan umum Syariah dalam hal penggunaan MLM ini. Bagaimanapun, saya tidaklah mampu untuk menujukan tulisan ringkas ini kepada mana-mana jenama MLM yang wujud di Malaysia mahupun luar negara. Tulisan ini hanya memberikan sedikit gambaran dan garis panduan yang diletakkan oleh undang-undang Islam dalam hal MLM ini.

Pengertian MLM

Secara umum ‘Multi Level Marketing’ adalah suatu cara perniagaan alternatif yang berkaitan dengan pemasaran yang dilakukan melalui banyak level (tingkatan), yang biasa dikenal dengan istilah ‘Upline’ (tingkat atas) dan ‘Downline’ (tingakt bawah), orang akan disebut ‘Upline’ jika mempunyai ‘Downline’. Pokok utama dari perniagaan MLM ini digerakkan dengan jaringan ini, sama ada yang bersifat ‘vertikal’ atas bawah mahupun ‘horizontal kiri kanan’ ataupun gabungan antara keduanya. (Lihat All About MLM oleh Benny Santoso hal: 28, Hukum Syara MLM oleh Hafidz Abd Rahman, MA)

Bentuk MLM yang Haram

Ada beberapa bentuk sistem MLM yang jelas keharamannya, iaitu apabila ia menggunakan sistem berikut :

1) Harga tinggi dari biasa : Menjual produk yang diperjualbelikan dalam sistem MLM dengan harga yang jauh lebih tinggi dari harga biasa, ia adalah amat tidak digalakkan menurut Islam malah menurut sebahagian ulama, aqad seperti ini adalah terbatal. Tatkala itu, ia digelar ‘Gabhnun Fahisyh’ menurut istilah ulama Fiqh. Hukum jualan secara ‘Ghabnun Fahisy’ ini diperbezakan oleh ulama antara harus, makruh dan haram. (Durar al-Hukkam Fi Syarh Majallah al-Ahkam, klausa no 356, hlm 369). Bagaimana Nabi SAW pernah mengisyaratkannya sebagai suatu kezaliman jika berlaku kepada orang yang tidak mengetahui selok belok harga barang. (Al-Qawaid, Ibn Rusyd, hlm 601)

2) Jualan target sebagai syarat komisyen : Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target jualan tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target’ tersebut maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak. Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka menjadi bermasalah dari sudut Syariah kerana wujudnya unsur kezaliman terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat dengan syarat yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan “Anda mesti membeli atau mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda”.

Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti ‘brokerage fee’) sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi’en seperti Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato’ Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha’ie dan ramai lagi (Sohih Al-Bukhari ; Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 ). Bagaimanapun, komisyen dalam hal MLM dan system piramdi ini boleh bertukar menjadi haram apabila :-

* Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan olehnya, ia menimbulkan masalah dari sudut Syariah seperti unsur pemaksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian.

* Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angin tanpa sebarang kerja dan usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas broker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal berbilangnya rantaian komisyen broker ini, menurut perbincangan saya bersama Syeikh Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama dalam bidang kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks memakan harta orang lain dengan batil selain terdapat unsur judi. Ini adalah kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan samada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.

* Dari sudut yang lain, terdapat juga keraguan dalam isu pemberian komisyen di atas usaha dan tugas agen (wakil penjual) atau “brokerage” (tukang kempen). Ini kerana sepatutnya komisyen ke atas “brokerage” tidak harus mensyaratkan tukang kempen itu untuk membeli untuk diri sendiri sebagaimana yang berlaku dalam beberapa jenis MLM. Sesetengahnya pula mensyaratkan ‘broker’ atau ‘agen’ untuk menjual sendiri sebanyak sekian jumlah bagi memperolehi komisyen jualan broker (ahli) di bawahnya. Dengan sebab-sebab ini, hal ‘broker’ atau ‘agen’ menjadi syubhah dan tidak lagi benar ianya disifatkan sebagai komisyen wakil atau broker yang diterima Islam.

3) Jika ahli berdaftar menyertai MLM dengan yuran tertentu, tetapi tiada sebarang produk untuk diniagakan, perniagaannya hanyalah dengan mencari orang bawahanya (downline), setiap kali ia mendapat ahli baru, maka diberikan beberapa peratus dari yuran ahi tersebut kepadanya. Semakin banyak anggota baru bermakna semakin banyak jualah bonusnya. Ini adalah bentuk riba kerana memperdagangkan sejumlah wang untuk mendapat sejumlah lebih banyak yang lain di masa hadapan. Ia merupakan satu bentuk Riba Nasiah dan Riba Al-Fadl. Hal yang sama juga hukumnya bagi perusahaan MLM yang tidak mempunyai produk bersungguh dan berkualiti, sebaliknya produk miliknya hanyalah berupa ruangan laman web yang tidak berfaedah buat kebanyakkan orang, atau apa jua produk yang hanya dijadikan sebagai alasan pembelian. Malah harga sebenar produknya juga adakalanya jauh dari harga yang dijual kepada ahli (sebagai contoh dijual produk web komputer, sedangkan haragnya jauh lebih tinggi dan si ahli pula tidak mempunyai komputer pun). Pada hakikatnya, si ahli bukannya ingin membeli produk itu, tetapi untuk menyertai rangkaian serta memperolehi wang darinya. Ia juga termasuk dalam yang diharamkan. Hal membeli produk tidak benar dengan niat utama memasuki rangkaian dan mendapat untung dari rangkaian ini telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Al-Lajnah Ad-Daimah Arab Saudi no 15/192-193.

4) Terdapat juga syarikat MLM yang melakukan manipulasi dalam menjual produknya, atau memaksa pembeli untuk menggunakan produknya atau yang dijual adalah barang haram. Maka MLM tersebut jelas keharamannya. Namun tidak semua MLM begini, cuma sebahagiannya sahaja.

5) Terdapat juga unsur mirip “shafqatayn fi shafqah”, atau bay’atayn fi bay’ah, (iaitu dua aqad jenis jual beli dalam satu) yang dilarang oleh Baginda SAW dengan pelbagai lafaz antaranya : “

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن صفقتين في صفقة واحدة

Ertinya : “Rasulullah SAW melarang dari membuat dua belian (aqad) dalam satu aqad” ( Riwayat Ahmad, Al-Bazzar ; Al-Haithami : perawi Ahmad adalah thiqah ; 4/84 )

Ini berlaku apabila ada sebahagian syarikat MLM yang membuka pendaftaran ahlinya, setiap ahli perlu membayar sejumlah wang disebut yuran, tidak dapat dipastikan samada yuran tersebut untuk membeli kedudukan di dalam rangkaian ataupun membeli produk. Pada waktu yang sama, dengan termeterainya keahliannya itu, ia akan menjadi wakil pula bagi syarikat untuk merekrut ahli baru, maka tindakan MLM seperti ini, boleh dikatakan termasuk dalam kategori hadis : shafqatayn fi shafqah, atau bay’atayn fi bay’ah. Ini kerana, dalam hal ini, orang tersebut telah dikira melakukan transaksi aqad Mu’awadat (kontrak pertukaran hak kewangan) bila membeli produk atau menjadi ahli dan dalam masa yang sama masuk dalam satu jenis aqad lagi iaitu perwakilan (untuk menjualkan produk itu kelak di samping mencari ahli baru) dengan komisyen tertentu. Maka, praktis seperti ini jelas tergolong sebagaimana hadith di atas.

Kesatuan Fiqh Sedunia (Majma’ Fiqh Islami) pernah mengeluarkan fatwa ke atas satu bentuk perniagaan MLM jenama PT Biznas yang disifatkan sebagai haram kerana ia adalah salah satu bentuk perjudian. Selain itu, keputusan itu juga menafikan bahawa komisyen yang digunakan adalah komisyen atau upah ‘brokerage’ sebagaimana didakwa. (Rujuk keputusan nombor 3/24, 17 Julai 2003). Selain itu, Syeikh Salim Al-Hilali pernah mengeluarkan fatwa pengharaman dengan katanya : “Banyak pertanyaan berkenaan perniagaan yang diminati ramai. Yang secara umum gambarannya adalah mengikuti kaedah piramid dalam sistem pemasarannya, dengan cara setiap anggota harus mencari ahli-ahli baru dan demikian selanjutnya. Setiap anggota membayar yuran pada syarikat dengan jumlah tertentu dengan angan-angan mendapat bonus, semakin banyak anggota dan memasarkan produknya maka akan semakin banyak bonus yang dijanjikan. Sebenarnya kebanyakan anggota MLM yang menyertai cara ini adalah hasil motivasi bonus yang dijanjikan tersebut dengan harapan agar cepat kaya dalam waktu yang sesingkat mungkin, padahal ia langsung tidak menginginkan produknya. Perniagaan jenis ini adalah perjudian murni, kerana beberapa sebab berikut, iaitu:

Ø Sebenarnya anggota MLM ini tidak mahukan produknya, akan tetapi tujuan utama mereka adalah menyertai rangkaian piramid bagi mendapatkan kekayaan cepat apabila setiap ahli baru membayar yuran.

Ø Harga produk yang dibeli sebenarnya tidak sampai 30% dari wang yang dibayarkan pada syarikat MLM.

Ø Tujuan perusahaan adalah membangun jaringan individu secara berkesinambungan. Yang mana ini akan menguntungkan anggota yang berada pada level atas (Upline) sedangkan level bawah (downline) selalu memberikan nilai point pada yang berada dilevel atas mereka.

Justeru, saya kira, amat tipis untuk mencari MLM yang tidak tergolong dalam item-item salah yang saya sebutkan di atas, malah saya juga suka menyarankan agar pengamal-pengamal jualan amanah saham dan Takaful secara wakil untuk lebih berhati-hati agar tidak terjerumus dalam bab MLM. Bagaimanapun, jika anda masih ingin mendakwa halalnya MLM ini, saya sarankan agar pengamal MLM memastikan asas minima Shariah berikut dapat dipatuhi :-

1. Produk MLM ini mestilah dibeli dengan tujuan yang sebenarnya (seperti produk yang benar-benar bermanfaat dan dibangunkan dengan serius seperti ubat-ubatan berkualiti, unik dan lainnya). Justeru, produk MLM yang kabur kualiti dan kegunaannya tidaklah dibenarkan kerana ia hanyalah bertujuan untuk mengabui dalam undang-undang dan hukum Syariah, ia tiadalah halal di sisi Syariah. Justeru, kekuatan MLM itu ialah kepada produknya yang bermutu dan bukan kepada objektif jangka pendek mengumpul dana (modal).

2. Produknya bukan emas dan perak yang boleh dijual beli secara tangguh. Ini kerana penjualan barangan emas secara tangguh adalah Riba jenis Nasiah.

3. Komisyen yang diberikan kepada ahli untuk setiap penjual dan ahli bawahannya mestilah jelas. Tiada komisyen tanpa usaha, ini bermakna orang atas hanya berhak mendapat komisyen dari ahli bawahan yang dibantunya sahaja.

4. Keuntungan dan komisyen bukan berdasarkan ‘kepala’ atau ahli yang ditaja, tetapi adalah berdasarkan nilai produk yang berjaya di jualnya. Ini diperlukan bagi membuktikan ia menumpukan kepada perniagaan penjualan produk dan perkhidmatan dan bukannya permainan wang (money game).

5. Tidak diwajibkan bagi si ahli menjual jumlah tertentu bagi memperolehi komsiyen dari orang bawahannya.

6. Setiap ‘upline’ atau orang di sebelah atas mestilah menaruh usaha atas jualan orang bawahannya, seperti mengadakan perjumpaan taklimat, motivasi dan teknik berkempen secara terancang seperti sebuah syarikat yang pelbagai ahlinya. Ia perlu bagi melayakkannya menerima komisyen itu dari sudut Syariah, jika tidak adalah dibimbangi ia akan terjerumus kepada keraguan ‘syubhah’. Ini kerana konsep niaga dalam Islam tidak membenarkan suatu keuntungan dari sesuatu perniagaan yang diperolehi tanpa usaha. Justeru, sedikit usaha perlu dicurahkan bagi menjadi sebab haknya ke atas komisyen. Perlu diingat, kebanyakan ahli di kaki yang 10 ke bawah, mungkin tidak mengenalinya lantaran ia dilantik oleh orang bawahannya yang kesembilan. Jika tidak, apakah haknya untuk mendapat komisyen yang demikian berangkai dan begitu jauh ?.

7. Tidak menggunakan skim piramid iaitu skim siapa masuk dulu akan untung selamanya. Manakala hak mereka yang masuk kemudian akan berkurangan. Justeru, plan pemasaran mestilah memberikan hak kepada semua, malah orang bawahan mampu mendapat keuntungan lebih dari orang atasannya, apabila ia mampu menjual dengan lebih hebat.

8. Mempersembahkan sistem komisyen dan bonus yang telus dan boleh difahami dan dipantau oleh ahli dengan jelas. Ia bagi mengelakkan segala jenis penipuan.

9. Menstruktur plan pemasaran di anatara ahli dan orang bawahannya secara musyarakah iaitu perkonsgian untung dan rugi berdasarkan modal masing-masing dengan nisbah pembahagian keuntungan yang ditetapkan di peringkat awal lagi.

Akhirnya, saya tahu bahawa hukum MLM ini masih terbuka untuk perbincangan, malah Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah ketika perbincangan dengan beliau mengakui ini isu yang agak baru baginya. Benar, amat sukar ditemui tulisan para ulama Islam dari Timur Tengah berkenaan hal MLM ini, disebabkan MLM belum masuk ke pasaran negara Arab dengan meluas. Justeru, menjadi tanggungjawab para ilmuan Syariah Asia Tenggara untuk membantu masyarakat untuk mengetahui pandangan Syariah tentang MLM ini. Tulisan ringkas saya hanyalah pandangan awal bagi memberi peringatan bahawa dengan sekadar pandangan, kelihatan begitu banyak keraguan boleh muncul dalam perniagaan MLM ini. Tidak perlulah pembaca merasa marah dan benci dengan tulisan ini. Ini sekadar nasihat bagi mereka yang mengambil berat tentang pendapatan serta memikirkan barzakh dan akhirat mereka yang kekal abadi. Wallahu ‘alam.

Kuala Lumpur, Malaysia (14 Zulhijjah 1427 H = 4 Januari 2007)

Ulasan: Alhamdulillah, perniagaan MLM Syariah yang HPA jalankan menepati perkara asas minima Syariah dan jelas sama sekali bertentangan dengan MLM yang dikatakan haram seperti yang dinyatakan dalam artikel di atas. Plan Pemasaran MLM (S) HPA telah dirujuk kepada ulama’ dan pensyarah Pengajian Islam bagi mengelakkan berlakunya unsur-unsur syubhah dan haram. Dan mereka mengesahkan bahawan plan pemasaran HPA bertepatan dengan Hukum Syarak. Jadi, anda boleh menggunakan produk HPA dan menjalankan perniagaan rpoduk HPA tanpa was - was. Insyaallah…

Popularity: 43% [?]

6 firma jualan langsung tipu pengguna disiasat

KPDNHEP terima aduan perniagaan berbentuk skim cepat kaya

imbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEPTimbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pembangunan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Iskandar Halim Sulaiman (gambar), berkata semua syarikat itu mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit setiap tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati dalang kegiatan berkenaan berpangkalan di luar negara dan taktik mereka ialah melantik syarikat tempatan sebagai ejen mengembangkan perniagaan di negara ini.

“Semua syarikat itu dikesan membuat penipuan dengan mengubah pelan pemasaran asal yang mereka kemukakan ketika memohon mendapatkan lesen syarikat jualan langsung kepada operasi berbentuk skim cepat kaya.

“Bagi mengelirukan orang ramai, mereka menggunakan beberapa produk kesihatan, kad diskaun dan barangan elektrik sebagai perantara bagi melindungi penipuan itu,” katanya kepada Berita Harian.

Iskandar Halim berkata, kementerian memulakan siasatan selepas menerima aduan pelabur yang curiga dengan tawaran syarikat itu terutama apabila ia menjanjikan pulangan lebih RM50,000 dengan hanya melabur antara RM30 hingga RM200.

“Kita sedang bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membongkar kegiatan syarikat terbabit dan memastikan ia dihentikan bagi mengelak lebih ramai ditipu,” katanya.

Iskandar Halim berkata, sehingga ini, maklumat yang dikumpul mendapati syarikat yang mempunyai jaringan pada peringkat antarabangsa itu turut dianggotai kakitangan awam dan golongan profesional.

Beliau berkata, selain mengembangkan operasi menerusi sesi taklimat dan suai kenal untuk menambah keahlian, syarikat terbabit juga menawarkan pelbagai habuan menarik, sama ada wang tunai atau barangan mewah menerusi internet.

Katanya, operasi perniagaan berteraskan internet itu dibuat bagi mengelak ia dikesan pihak berkuasa dan pada masa sama membolehkan skim berkenaan berkembang lebih pesat tanpa kawalan pihak berkuasa.

“Struktur organisasi syarikat yang lengkap, selain pelan pemasaran yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat membolehkan syarikat itu mempengaruhi orang ramai dengan lebih mudah.

“Bagaimanapun, beberapa saksi yang disiasat memberitahu hanya lapisan pelabur awal skim berkenaan yang mengaut keuntungan berganda, manakala yang yang terkemudian menyertainya berdepan risiko menanggung rugi,” katanya.

Iskandar Halim berkata, bagi memastikan rantaian skim itu tidak tergendala, sesetengah pengendali skim cepat kaya terbabit menjanjikan pulangan separuh daripada kadar asal kepada pelabur yang tidak dapat menaja ‘downline’.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan nama enam syarikat yang disiasat itu bagi mengelak ia menjejaskan siasatan dan menyebabkan dalang skim cepat kaya berkenaan menghilangkan diri.

Sementara itu katanya, kementerian juga sedang memantau operasi beberapa syarikat yang menyalahgunakan lesen jualan langsung mereka untuk menipu dengan menganjurkan peraduan gores dan menang bagi mengaut keuntungan mudah dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah yang tidak wujud.

Sebelum ini, kerajaan mengeluarkan amaran bahawa beberapa skim pelaburan yang dikendalikan menerusi internet, khususnya yang berpangkalan di luar negara, beroperasi secara haram dan menjurus kepada penipuan.

Sumber : Berita Harian 26 Mac 2007

Ulasan : Jika anda merasa ragu - ragu syarikat MLM yang mana betul yang mana tidak, kenapa tidak pilih sahaja untuk mendaftar dengan syarikat HPA. Bayaran untuk menjadi ahli seumur hidup hanyalah RM 20 sahaja. Anda tidak perlu menaja ramai downline. Bonus bulanan adalah berdasarkan pembelian produk kegunaan harian pada setiap bulan. Selain berpeluang mengerjakan umrah, anda berpeluang untuk mendapatkan pelbagai faedah lain lagi. DAFTAR SEBELUM TERLAMBAT !

Popularity: 41% [?]

Najis campur darah petanda awal

RAMAI antara kita pernah mengalami masalah pendarahan apabila buang air besar. Gejala najis bercampur berdarah ini sebenarnya petanda penting yang menunjukkan badan kita ada masalah kesihatan yang perlu mendapat rawatan segera.

Pendarahan ketika buang air besar dikategorikan sebagai masalah biasa yang berlaku dalam masyarakat kita terutama di kalangan golongan muda pada peringkat umur produktif iaitu antara 20 hingga 30 tahun.

Masalah ini lebih kerap berlaku pada individu yang terlalu banyak mengambil karbohidrat yang diproses, daging dan kurang makan sayur-sayuran serta buah-buahan. Karbohidrat yang diproses bermakna sumber karbohidrat dibersihkan daripada kekasaran luaran melalui kaedah penulenan.

Dalam proses ini, hampir semua vitamin, galian serta serat turut terbuang dan yang tinggal hanya kalori. Untuk menjadikan ia berkhasiat, sesetengah produk diperkayakan dengan memasukkan semula zat yang terbuang tadi. Antara contoh karbohidrat proses ialah roti putih, gula atau bahanyang dibuat daripada tepung.

Inilah sebabnya bagi individu yang mengamalkan pemakanan kaya karbohidrat proses lebih kerap mengalami masalah sistem perkumuhan terutama jika mereka juga kurang mendapat bekalan serat, air dan jarang bersenam.

Ada banyak punca yang boleh menyebabkan pendarahan ketika buang air besar. Punca yang paling lazim ialah buasir dan kanser usus selain rekahan pada kulit saluran dubur (masalah biasa dan menyakitkan, disebabkan sembelit atau mengeluarkan najis secara paksa), polip pada rektum dan usus besar serta ulser.

Masalah ini juga dipanggil pendarahan rektum (bahagian akhir usus besar) kerana rektum terletak betul-betul di atas lubang dubur. Kebanyakan pendarahan rektum pada usus besar, hujung usus besar atau dubur. Usus besar ialah sebahagian daripada saluran gastrointestin; iaitu laluan makanan selepas ia dicerna dalam usus kecil.

Usus besar bertanggungjawab menyingkirkan air daripada makanan yang tidak tercerna dan menyimpannya sehinggalah ia dibuang sebagai najis. Rektum pula adalah bahagian terakhir usus besar (15 sentimeter dari dubur). Manakala esofagus, perut, duodenum dan usus kecil dipanggil saluran gastrointestin atas.

Menurut Perunding Pembedahan Gastroenterologi, Dr Abdul Hamid Mat Sain, walaupun ramai yang menganggap ia agak memalukan tetapi gejala berbahaya tidak boleh dipandang ringan dan perlu diberikan perhatian segera bagi mengesan punca sebenar menyebabkan pendarahan.

Sikap tunggu dan lihat sebenarnya boleh menyebabkan masalah ini bertambah berat kerana ramai yang menganggap ia bukanlah perkara membimbangkan apabila pendarahan berhenti selepas beberapa ketika tanpa mendapatkan sebarang rawatan.

“Warna darah juga sebenarnya berbeza dan secara umum warna ia boleh memberikan gambaran kasar kepada punca, penyakit dan lokasi pendarahan. Jika warna darah yang keluar bersama najis itu merah cerah bermakna penyakit berada dekat dengan kawasan dubur (di bahagian usus yang hampir dengan kulit). Ia mungkin disebabkan masalah pada saluran menyebabkan salur darah bengkak dan pecah seperti yang berlaku pada pesakit buasir.

“Jika warna darah merah gelap bermakna pendarahan berlaku pada bahagian usus yang lebih dalam. Penyakit pada umumnya lebih berbahaya seperti kanser usus. Ini adalah punca pendarahan rektum yang paling lazim,” katanya.

Warna najis yang hitam dan melekit seperti tar (dipanggil melena) pula menandakan ada pendarahan pada bahagian lebih atas (pangkal) usus, esofagus, perut atau duodenum (usus kecil). Melena atau najis tar ini terhasil apabila pendarahan berlaku terlalu lama dalam usus besar yang memberikan peluang bakteria bertindak dan menghuraikannya kepada bahan dipanggil hematin yang berwarna hitam dan berbau sangat busuk. Inilah sebabnya apabila berlaku pendarahan rektum kali pertama, pesakit perlu menjalani pemeriksaan segera.

Selain warna, kuantiti darah juga boleh menjadi petanda tahap penyakit atau masalah yang dialami seseorang. Biasanya pendarahan rektum sederhana dikategorikan apabila banyak darah keluar setiap kali buang air besar. Jika kuantiti ini lebih banyak, bermakna pendarahan sudah mencapai tahap serius.

Pendarahan rektum juga boleh menyebabkan pesakit berasa lesu, pening atau pitam khususnya bagi mereka yang mengalami pendarahan serius. Kadang kala pesakit juga boleh mengalami simptom tekanan darah rendah terutama apabila berdiri selepas lama duduk di tandas.

Masalahnya ramai antara kita tidak mendapat pemeriksaan awal secukupnya. Bahkan pesakit juga enggan diperiksa kerana malu sebaliknya hanya meminta ubat daripada doktor. Tindakan ini sebenarnya perlu diubah kerana tanpa pemeriksaan, masalah sebenar yang dihadapi tidak dapat diketahui.

Dr Abdul Hamid berkata, pemeriksaan saringan pertama paling minimum ialah ujian rektum digitar yang memerlukan doktor melihat dan memasukkan jari ke dalam dubur pesakit. Ujian ini tidak sakit dan hanya mengambil masa satu atau dua minit saja. Biasanya melalui pemeriksaan ini, doktor boleh memeriksa keadaan dinding usus, bengkak, buasir, kanser atau ketumbuhan yang tumbuh di hujung usus besar.

Jika pendarahan bukan disebabkan buasir, ini bermakna pendarahan berlaku di bahagian usus yang lebih dalam dan diagnosis seterusnya perlu dijalankan kerana 50 peratus kanser usus lazimnya berlaku pada 15 sentimeter ke dalam usus (dari dubur).

Pada peringkat awal, pesakit umumnya tidak dapat membezakan sama ada pendarahan itu disebabkan buasir atau kanser usus kerana ramai yang mengalami kedua-dua masalah serentak. Jika didapati ada ketumbuhan dalam rektum, doktor akan menjalankan biopsi dengan mengambil secebis tisu daripada ketumbuhan berkenaan untuk diperiksa.

“Pesakit perlu membuang rasa malu kerana ia menghalang proses rawatan. Paling penting, jika pendarahan itu disebabkan kanser, ia boleh dirawat awal. Jika tiada buasir atau kanser, ini bermakna pendarahan berlaku pada bahagian atas gastrointestin. Ia boleh dipastikan melalui ujian kolonoskopi untuk mengesahkannya.

“Gejala najis berdarah juga berlaku pada kanak-kanak tetapi ia biasanya disebabkan masalah sembelit dan bukannya kanser. Bagaimanapun bagi orang dewasa, jangan buat tidak endah pada gejala ini kerana ia petanda penting wujudnya masalah kesihatan,” katanya.

Ulasan: Produk herba HPA yang baik untuk diamalkan ialah Herba Tuju Angin (3×2), Pelawas (3×2) dan Mengkudu (2×2). Ketiga-tiga herba ini bertujuan untuk membersihkan semua sistem pencernaan, termasuk usus yang bermasalah atau sembelit. Makan 30 minit sebelum makan atau 2 jam selepas makan.

Setelah proses colon cleansing selesai, kemudian amalkan Spirulina (3×2)dan Teh Herba (2 uncang untuk diminum pagi dan petang). Kedua-dua herba ini bermanfaat untuk meningkatkan aktiviti antivirus, kuman dan bakteria yang berada di dalam tubuh, sekaligus mempercepat penyembuhan luka yang mungkin terjadi di usus. Serta meningkatkan daya tahan tubuh.

Popularity: 57% [?]

Perubatan herba-di intai dunia barat ketika kian dilupai di timur

APABILA dunia Barat mula beralih kepada penggunaan herba untuk melengkapi dunia perubatan moden, masyarakat rantau ini mungkin kurang menyedari keistimewaan herba berkenaan yang tumbuh melata di depan mata sendiri.Tidak hairan jika tulisan HM Burkill mengenai 1,000 spesies herba di Semenanjung Malaysia (ketika itu Malaya) pada awal abad ke-20, dijadikan rujukan pelbagai pihak dalam dan luar negara. Malah, tulisan awal mengenai herba itu dikatakan masih menjadi sebahagian rujukan penyelidik masa kini.

Di sebalik dedaun comel menghijau di laman rumah, tumbuhan seperti pegaga mempunyai pelbagai keunikan untuk meningkatkan tahap kesihatan seseorang termasuk di kalangan kanak-kanak kurang upaya.

Profesor di Fakulti Sains dan Teknologi Pemakanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Suhaila Mohamed menyifatkan tumbuhan herba yang lazimnya dijadikan ulam-ulaman itu membantu meningkatkan keupayaan dari segi pengawalan saraf di kalangan kanak-kanak terbabit.

“Ini kerana pegaga mempunyai kesan pelalian pada saraf. Bagi mereka yang mahu meningkatkan daya ingatan, pegaga antara pilihan herba yang baik berdasarkan hasil kajian dijalankan UPM kira-kira dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di universiti berkenaan baru-baru ini.

Kajian di kalangan lelaki dan wanita lingkungan usia 35 hingga 55 tahun itu mendapati pegaga bukan saja berupaya meningkatkan ingatan malah mengurangkan paras glukos dan kolesterol. Bagi lelaki pula, Prof Suhaila mengakui ia didapati dapat meningkatkan tenaga seksual.

Di pelosok dunia lain, penggunaan pegaga atau secara saintifiknya dikenali sebagai centella asiatica turut tersenarai dalam dunia perubatan herba ayurveda dan tradisional Cina. Perubatan ayurveda menyifatkan tumbuhan herba ini sebagai tonik otak, antara lain bagi membantu meningkatkan daya ingatan, usia panjang dan mengekalkan keremajaan.

Dalam perubatan berkenaan, seluruh bahagian pegaga dianggap sesuai untuk membantu meningkatkan daya ingatan. Di kalangan masyarakat India, tumbuhan berkenaan dipercayai membantu mengatasi pelbagai masalah lain seperti sakit kepala, sakit badan, asma, ulser serta menyembuhkan luka.

Perubatan tradisional Cina pula memanfaatkan pegaga untuk membantu mengatasi masalah keletihan secara fizikal dan mental. Dalam pelbagai kajian lain, pegaga memiliki pelbagai kegunaan untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang termasuk pembentukan kolagen, membolehkan seseorang tidur lebih lena, merangsang selera makan serta membantu dari segi rawatan pernafasan, reproduktif, saraf, antiradang dan meningkatkan pengaliran darah.

“Dalam penyelidikan yang menggunakan tikus sebagai sampel, didapati tikus yang diberi makan pegaga lebih aktif dan tubuh haiwan itu kurang lemak manakala organ dalaman tikus itu juga lebih sihat berbanding tikus yang tak diberi makan pegaga,” katanya sambil menambah, jenis pegaga yang agak popular seperti pegaga gajah dan pegaga kampung dikategorikan di bawah spesies centella asiatica.

Pegaga yang turut dikomersialkan masa kini antaranya dalam bentuk sabun namun menurut Prof Suhaila, ia boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk barangan lain termasuk barangan kosmetik memandangkan keupayaan pegaga serupa seperti vitamin C.

“Lebih elok jika mengambil pegaga mentah atau segar tetapi lantaran kesuntukan waktu kini, tak salah jika ia dikomersialkan kerana penggunaannya mungkin lebih mudah. Tidak hanya pegaga, pelbagai tumbuhan tempatan memiliki banyak khasiat dari sudut kesihatan seperti kunyit, sirih dan mengkudu,” katanya yang bakal memperkatakan kelebihan rumpai laut dalam Persidangan Perubatan Tradisional Asia dan Kesihatan Wanita pada 28 hingga 30 Julai ini di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarang Journal of Tropical Medicinal Plants, Prof A N Rao, mengakui perubatan tradisional berasaskan tumbuhan herba mampu melengkapi dunia perubatan moden kini.

“Gabungan rawatan moden dan tradisional tentunya menghasilkan penemuan yang cukup baik dalam bidang kesihatan. Justeru, tidak hairan jika masyarakat di Barat kini lebih cenderung kepada perubatan tradisional malah mereka turut memanfaatkan penggunaan herba secara lebih baik dan meluas berbanding masyarakat Timur sendiri.

“Sayang sekali masyarakat di negara membangun sering bergantung kepada sistem perubatan Barat termasuk penggunaan perubatan herba. Keadaan ini mesti diubah. Kita yang seharusnya berusaha membuktikan keupayaan perubatan tradisional ini dari pelbagai segi seperti mutu dan piawaiannya,” katanya.

Menurutnya, dunia perubatan herba bermula sekitar 6,000 hingga 7,000 tahun lalu meliputi beberapa negara seperti China, India, Jepun dan Korea yang memiliki herba istimewa masing-masing. Perubatan Barat yang berasaskan sistem perubatan Yunani bermula sekitar 2,000 tahun lalu yang menumpukan kaedah merawat penyakit demi penyakit.

“Ini berbeza dengan sistem perubatan tradisional Asia yang merawat seluruh tubuh dan bukannya rawatan berdasarkan sesuatu penyakit. Meskipun rawatan herba ini mengambil masa yang lebih lama, kesan sampingannya kurang malah tidak meninggalkan sebarang sisa berbanding ubat-ubatan moden,” katanya.

Prof Rao yang bakal menyertai persidangan berkenaan turut memperakui khasiat pegaga di samping beberapa herba lain seperti kacip fatimah dan misai kucing yang popular di kalangan masyarakat kini.

Sumber: Harian Metro

Ulasan: HPA memperkenalkan konsep Perubatan JAWI bagi orang Melayu. Ramai orang menganggap bahawa orang Melayu hanya mempunyai dukun, bomoh dan pawang sahaja. HPA telah mengambil langkah mewujudkan perubatan ini untuk membuktikan bahawa anggapan mereka adalah salah. Pokok Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan lain-lain herba semuanya warisan peninggalan nenek moyang orang Melayu. HPA juga bukan hanya mengeluarkan produk-produk herba, malah turut memberi bimbingan untuk mendalami ilmu diagnosis penyakit dan perawatan seperti bekam, akupunktur dan lain-lain.

Popularity: 56% [?]

Close
E-mail It