Kualiti HPA diiktiraf

Oleh Zainuddin Zain

Jumaat, 15 Disember 2006

HPA Industries Sdn Bhd (HPA), pengeluar Kopi Radix yang terkenal dengan slogan ‘Mai Secawan’ mencatat sejarah tersendiri dalam bidang kualiti negara apabila menerima dua anugerah di Majlis Sirim Industri 2006 baru-baru ini.

Anugerah pertama yang diterima syarikat berpangkalan di Jejawi, Perlis ialah Skim Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti (MS ISO 9001:2000) dan kedua Sijil Penghargaan Program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Sirim Bhd. Bagi MS ISO 9001:2001, HPA adalah antara 213 penerima manakala bagi Program R&D Sirim pula, ia adalah antara sembilan penerima termasuk Perniagaan Orang Kampung Sdn Bhd, I Medikel Pharmaceutical Sdn Bhd, Syarikat Minyak Afiat Sdn Bhd, Norz Beauty House Sdn Bhd dan Granulab (M) Sdn Bhd.

Pengarah Urusan HPA, Ismail Ahmad, berkata kejayaan itu sangat membanggakan dan pada masa sama menyuntik semangat lebih tinggi kepada warga kerja syarikat menghasilkan lebih banyak produk halal dan bermutu.

“Anugerah ini membuktikan HPA tidak bertoleransi dengan mutu. Kami percaya untuk maju dan menguasai pasaran luar negara, syarikat perlu menghasilkan produk berkualiti dan menepati piawaian antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, HPA akan melangkah setapak lagi dengan mengeluarkan produk kecantikan sendiri, tidak lama lagi dan meletakkan sasaran mengukuhkan rangkaian dan pasaran di Indonesia yang kini ahlinya sudah melebihi 100,000 orang,” katanya.

Ismail menerima anugerah MS ISO 9001:2000 daripada Pengarah Eksekutif Sirim QAS International Sdn Bhd, Abdul Razak Salim. Pengurus Besar Al-Wahida Marketing Sdn Bhd yang juga anak syarikat HPA, Mohd Faisol Abdul Rahman pula menerima Sijil Penghargaan Program R&D Sirim daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Mohd Jarjis.

Sumber: Harian Metro

Popularity: 18% [?]

HPA keluar biskut herba

hpa-keluar-biskut-herba.jpg

Klik gambar di atas untuk besarkan

Oleh Zainuddin Zain
zainuddin@hmetro.com.my

HPA Industries Sdn Bhd (HPA), pengeluar kopi jenama Radix akan mengeluarkan antara dua hingga tiga biskut berasaskan herba tahun depan, sebagai tambahan kepada kira-kira 100 produk makanan kesihatan dan kegunaan harian yang dikeluarkan ketika ini.

Pengarah Urusannya, Ismail Ahmad, berkata dengan mempelbagaikan keluaran, pihaknya yakin dapat mengukuhkan jenama syarikat dalam industri produk makanan kesihatan.

Katanya, ia dimulai dengan pengenalan biskut yang diadun bersama tujuh jenis herba iaitu Cookies Radix awal bulan ini yang menjadi pelopor kepada beberapa lagi produk biskut yang bakal diperkenalkan syarikat, tidak lama lagi.

“Seperti kopi Radix yang mendapat sambutan, HPA percaya Cookies Radix akan mendapat tempat di pasaran kerana khasiatnya yang diadun dengan herba tongkat ali, teja lawang, tebu gajah, mata pelanduk, mengkudu hutan, larak hutan dan halban.

“Ia menjadikan Cookies Radix bukan sekadar biskut biasa untuk mengalas perut, tetapi turut menjaga kesihatan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat HPA di Jejawi, Perlis baru-baru ini.

Ismail berkata, dalam usaha mengukuhkan jenama HPA di pasaran, iklan bergerak syarikat itu akan mula ditayangkan di Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) bermula Oktober ini berbanding dengan iklan slaid sekarang.

“Kita masih memberi penekanan kepada promosi kopi Radix yang juga produk terlaris HPA,” katanya.

Selain promosi pengiklanan agresif, katanya, HPA juga akan memperkemaskan sistem e-Dagang syarikat bagi memudahkan ahli berurusan dengan syarikat dan pada masa sama sebagai usaha menembusi pasaran dunia menjelang tahun depan.

Pengenalan e-Dagang membolehkan HPA menjalankan proses pertukaran maklumat perniagaan serta jual beli dengan menggunakan sistem pertukaran data secara elektronik tanpa kertas menerusi e-mel, transmisi faksimili dan pemindahan dana secara elektronik.

“Kita mensasarkan semua ini mula dilaksanakan bermula 2007 selepas HPA menggunakan teknologi e-Dagang ini pada tahap maksimum.

“Sistem e-Dagang penting kerana ia menjimatkan banyak masa dan dilakukan secara mudah terutama di Indonesia kerana HPA sudah lama bertapak di negara itu dan kini akan melangkah lebih jauh selepas menerima maklum balas positif ketika menyertai pameran Matrade (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) di Dubai baru-baru,” katanya.

Beliau berkata, kopi Radix dan Minyak But-But yang dibawa untuk pameran itu menarik perhatian pengunjung dan pihaknya secara dasarnya sudah bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan ahli perniagaan di Asia Barat dan India.

“Berikutan sambutan positif itu, kita merancang untuk membuka pejabat dan kilang di Pakistan,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail berkata, dalam usaha mengembangkan HPA ke peringkat global, pengurusan syarikat tidak melupakan perkhidmatan kepada ahli dengan menubuhkan Koperasi Wahida atau turut dikenali ‘koHPA’.

*Sumber: Ruangan Bisnes, Harian Metro, 28 September 2006

Popularity: 19% [?]

UNJUR JUALAN BULANAN RM 6 JUTA

Sabtu, 24 Jun 2006

HPA Industries Sdn. Bhd. (HPA), syarikat jualan langsung berasaskan produk makanan kesihatan milik penuh Bumiputera mensasarkan jualan produk untuk pasaran tempatan dan Indonesia mencecah RM6 juta sebulan, menjelang Disember 2006.

Keyakinan itu berikutan sambutan hebat terhadap produk Kopi Radix keluaran syarikat berkenaan yang beribu pejabat di Jejawi, Perlis.

Pengarah Urusannya, Ismail Ahmad, berkata sebanyak RM4 juta daripada RM6 juta yang diunjurkan itu dijangka diperoleh daripada penjualan Kopi Radix.

“Ini menunjukkan keyakinan terhadap Kopi Radix keluaran syarikat dan dalam usaha memperluaskan lagi pasarannya, HPA akan memperkenalkan dua lagi kopi berperisa iaitu Mocha Radix dan Cookies Radix di pasaran Ogos ini.

“Nama Radix iaitu saintifik bagi Tongkat Ali akan dikekalkan,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, HPA yang diasaskan pada 1997 akan bergerak lebih cergas dalam melaksanakan misi syarikat untuk mencapai 500,000 keahlian tahun ini.

“Kami akan mempekenalkan beberapa strategi dalam merealisasikan sasaran syarikat tahun ini.

“Kami akan memperkenalkan beberapa strategi dalam merealisasikan sasaran syarikat tahun ini. Antaranya dengan mewujudkan imej korporat yang tersendiri bermula dengan peribadi pekerja yang menampilkan akhlak Islamiah, pejabat, cawangan, papan tanda dan pakaian rasmi.

“HPA juga akan memastikan pengurusan diuruskan secara profesional seperti stok mencukupi, pembayaran bonus, laman web yang sentiasa dikemaskini dan kemudahan sokongan bagi membantu meningkatkan penjualan produk dari semasa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, HPA akan menambah produk berpotensi dan pada masa sama memberi perhatian kepada peningkatan kualiti.

Popularity: 17% [?]

Setiap pekerja kilang mesti berwudhuk

Metro Ahad, 30 April 2006

“PERUT awak banyak angin yang akan menghimpit dada awak, tetapi bukan sakit jantung. Ia akan menghadirkan ketidakselesaan, sekali gus menyebabkan awak banyak berfikir. Pada masa sama, tengkuk awak juga mempunyai masalah, menyebabkan awak kurang selesa dan sering sakit kepala.”

Ini adalah kata-kata Ismail apabila meminta untuk melihat tapak tangan penulis. Yang menarik, apa yang diperkatakan beliau tepat sekali.

Menurut Ismail, mengesan penyakit adalah prinsip asas dalam rawatan tradisional yang dipraktikkan sejak zaman berzaman.

“Orang dulu pun sakit juga, tetapi mereka tidak mempunyai peralatan canggih seperti hari ini. Teknik mengesan penyakit mereka cukup mudah, tetapi terbukti berkesan dan usaha memulihkan hanya dengan menggunakan herba tertentu,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail berkata, apa dilakukan HPA bukan baru, tetapi mengembalikan perubatan tradisional sebagai rawatan alternatif selain rawatan moden yang ada sekarang.

“Kadangkala kita pergi ke hospital tetapi tidak sembuh. Apa salahnya mencuba rawatan alternatif. Kadangkala kita mencuba rawatan alternatif dulu dan jika tidak sembuh baru ke hospital,” katanya.

Sementara itu, konsep digunakan HPA ketika menghasilkan produknya mungkin yang pertama digunakan di Malaysia, iaitu setiap pekerja di kilangnya di Kawasan Perindustrian Kuala Perlis harus dalam keadaan berwudhuk ketika bekerja.

“Hanya wanita dalam keadaan haid diberi kelonggaran. Tujuan kita bagi memastikan produk dikeluarkan mendapat keberkatan Allah SWT apabila pekerja dalam keadaan bersih,” katanya.

Malah, pengurusan HPA mengambil berat setiap aspek dalam mengeluarkan sesuatu produk bagi memastikan status halal, termasuk membangunkan perniagaan berdasarkan konsep bebas riba.

“Syukur kepada Tuhan, walaupun menggunakan pendekatan Islam 100%, produk kita bukan saja diterima orang Islam tetapi juga bukan Islam, sekali gus membuktikan keberkesanan sesuatu produk menjadi penentu sesuatu produk diterima di pasaran atau tidak.

“Bagaimanapun, sebagai syarikat milik orang Islam dan Bumiputera, menjadi tanggungjawab kita untuk membekalkan kepada mereka yang seagama produk halal dan penerimaan masyarakat bukan Islam adalah satu bonus,” katanya.

Ismail berkata, produk Kopi Radix adalah keluaran HPA yang terlaris membabitkan 50% daripada keseluruhan jualan daripada 85 produk yang dihasilkan syarikat itu sekarang.

“Bagi memastikan umat Islam di negara ini menggunakan produk halal dalam kehidupan seharian mereka, kita akan mengeluarkan 15 lagi produk kosmetik dan kegunaan seharian berasaskan pegaga dan roselle selain herba lain,” katanya.

Pada masa sama, HPA berasa terpanggil untuk membantu masyarakat menjalani kehidupan sihat, sekali gus bukan hanya menawarkan produk kesihatan, tetapi juga rawatan tradisional dan Islam.

“Antaranya kita berbekam dan akupuntur. Kita juga membuka Kolej Pengubatan Jawi di Sungai Petani bagi membolehkan mereka yang berminat mendalami ilmu pengubatan alternatif,” katanya.

Popularity: 19% [?]

“ISMAIL PAKAR AKAR KAYU, HERBA”

Orangnya cukup sederhana sekalipun memiliki rangkaian perniagaan bernilai jutaan ringgit…

Metro Ahad - 30 April 2006

ORANGNYA cukup sederhana sekalipun memiliki rangkaian perniagaan bernilai jutaan ringgit. Ketika ahli perniagaan setarafnya bergaya dengan banglo, beliau lebih selesa menetap di rumah pusaka keluarganya yang beratapkan rumbia dan berdindingkan buluh.

Ia cukup berbeza dengan bangunan HPA Industries Sdn. Bhd. (HPA), syarikat yang diasaskannya pada 1997 yang tersergam indah di Jalan Jejawi, Perlis.

Ini tidak termasuk dua kilang miliknya di Kawasan Perindustrian Kuala Perlis bernilai RM10 juta.

Mungkin mereka yang pertama kali berjumpa Pengarah Urusan HPA itu akan mengaitkan kesedarhanaan hidup beliau dengan imej waraknya.

Namun bagi Ismail Ahmad, 43, kehidupan peribadi dan perniagaan mempunyai sempadannya yang tersendiri.

“Saya lebih selesa jika orang mengenali produk dan syarikat ini daripada diri saya,” kata ‘tauke HPA’ itu sebaik wartawan Metro Ahad melangkah masuk ke pejabatnya di Perlis, baru-baru ini.

Kenyataan itu melahirkan rasa bimbang jika gagal mendapatkan maklumat dikehendaki untuk menulis di ruangan ini. Namun dalam tempoh singkat, sesi temu bual yang bermula dengan formal berubah kepada suasana penuh mesra dan ceria.

Keadaan menjadi bertambah rancak apabila graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menceritakan mengenai hobinya sejak zaman kanak-kanak untuk memasuki hutan bagi mencari pokok herba dan akar kayu.

“Hobi ini bermula sejak saya berusia 12 tahun dan kini dipindahkan menjadi kerjaya dan perniagaan teras saya hari ini sebagai pengeluar produk kesihatan berasaskan herba,” katanya.

Ismail yang juga anak jati Jejawi berkata, walaupun kini memiliki perniagaan yang mempunyai rangkaian di seluruh Asia Tenggara, beliau masih memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 2 atau 3 hari dalam sebulan untuk memasuki hutan.

“Bukan bersikap takabbur, tetapi hampir seluruh hutan dan bukit di sekitar Perlis dan Kedah ini sudah saya jelajahi.

“Bermula daripada kanak-kanak dengan mengekori orang yang lebih dewasa untuk belajar pengalaman mereka, kini jika saya mahu mencari sesuatu akar kayu atau herba, Insyaallah saya boleh ingat di hutan dan bukit mana.

“Malah, jika sesuatu herba atau akar kayu itu dibalut dengan kain, hanya daripada bau dan memegang bentuknya saya boleh tahu jenisnya,” katanya.

Mengenai pengalaman pelik atau mencemaskan sepanjang 21 tahun meredah hutan dan bukit, Ismail berkata, beliau bersyukur kepada Tuhan kerana setakat ini hanya menemui tapak peninggalan binatang buas seperti gajah dan harimau.

“Yang pasti pengalaman memasuki hutan sungguh istimewa. Ini kerana apabila kita semakin mendekatkan diri kepada alam ciptaan Allah SWT, kita akan semakin merasai kebesaran-Nya.

“Sebagai contoh ada sejenis garam di puncak Gunung Jerai yang cukup berkesan untuk penyakit kencing manis, dan masa mengambil garam ini yang paling baik ialah selepas kambing gurun menjilatnya dan kambing itu hanya hadir pada waktu tertentu,” katanya.

Antara pengalaman luar biasa yang lain ialah beliau pernah menemui ‘batu leleh’ sebesar pemeluk orang dewasa yang mempunyai banyak keistimewaan, terutama berfungsi sebagai penyerap racun dan bernilai ratusan ribu ringgit.

Apabila ditanya bagaimana daripada hanya pencari akar kayu dan herba di hutan, beliau muncul sebagai peneraju syarikat jualan langsung (MLM) Bumiputera antara yang terbesar di negara ini, Ismail berkata:

“Semuanya bermula ketika saya bekerja di LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) Kampung Kok Keliang dekat Padang Sidin di Perlis. Kami memenangi anugerah Hari Q (Qualiti) JPM (Jabatan Perdana Menteri) dan dihantar ke Indonesia sebagai hadiah.

“Di sana, kami berpeluang melawat beberapa kilang ubat tradisional seperti Mustika Ratu dan Nyonya Menere. Daripada situ saya terfikir mengapa orang Malaysia tidak mencontohi mereka kerana kita ada permintaan tinggi untuk produk ini.

“Lagipun ketika itu saya memang berniaga ubat secara kecil-kecilan. Malah, ketika di UPM pun, saya berniaga ubat di pasar malam. Ramai penuntut UPM sama ada ‘batch’ (tahun) saya atau senior mahupun junior mengenali saya sebagai penjual ubat pasar malam.

“Selepas tamat pengajian dan bekerja di LPP, saya masih meneruskan perniagaan ini dan apabila mendapat suntikan semangat daripada pengalaman di Indonesia, saya berhenti kerja di LPP pada 1995,” katanya.

Mengimbas semula peringkat awal penubuhan HPA atau singkatan Herba Penawar Al-Wahida sempena nama anak sulungnya, Wahida yang kini berusia 18 tahun, Ismail berkata, kejayaan tidak datang bergolek dalam hidup seseorang.

“Malah, saya dan isteri (Norhayati Ahmad) menjual di pasar malam dan dari rumah ke rumah untuk mengumpulkan modal sehingga HPA menjadi syarikat MLM pada 1999.

“Sejak itu kami tidak lagi menoleh ke belakang dan hari ini, HPA mempunyai 350,000 ahli di seluruh Malaysia. Cawangan kami di luar negara ialah Indonesia yang dibuka pada 2001 dan kini kita (HPA) mempunyai kilang di negara itu dengan 50 pekerja.

“Kita juga mempunyai pejabat di Pattani (Thailand) selain Brunei dan Singapura dengan setakat ini 85 produk ditawarkan kepada ahli kami,” katanya.

Bagaimanapun, HPA bukan sekadar sebuah syarikat MLM kerana ia turut menjual produk secara konvensional, selain membekalkan produk kesihatan kepada organisasi tertentu tetapi kemudian dipasarkan dengan menggunakan label organisasi berkenaan.

Ismail berkata beberapa organisasi gergasi di negara ini menjalinkan kerjasama sedemikian dengan HPA.

“Ini satu pengiktirafan, terutama HPA adalah syarikat MLM Bumiputera kedua di negara ini menerima pengiktirafan Good Manufacturing Practice (GMP) pada 1997 dan tahun ini Insyaallah menerima MS ISO-9001,” katanya.

Namun kata Ismail, yang lebih penting ialah orang ramai tidak perlu berasa was-was menggunakan produk HPA kerana mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KK) selain disahkan halal.

“Berikutan mempunyai keyakinan tinggi terhadap kualiti produk kami, HPA merancang tahun ini untuk mengorak langkah ke Timur Tengah dan Eropah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau membuka HPA bukan hanya berasaskan keuntungan, tetapi juga kerana yakin hanya dengan perniagaan akan memberi peluang kepadanya memajukan diri dan keluarga, masyarakat setempat dan ummah secara keseluruhannya.

“Di HPA, kita sentiasa percaya kepada konsep perkongsian pintar. Sebagai contoh, kita menjalin kerjasama dengan beberapa pemilik tanah dan petani di sekitar Perlis dan Kedah untuk menanam herba, di mana kita akan membeli semula tanaman mereka.

“Pada masa sama, ahli menjalin perkongsian pintar dengan HPA. Ini kerana hanya dengan yuran keahlian serendah RM20 seumur hidup, mereka bukan sahaja berpeluang menggunakan produk bermutu untuk diri dan keluarga, tetapi juga mampu menambah pendapatan dengan menjadi wakil penjual bagi HPA,” katanya.

Selaras dengan hasrat menjadi syarikat bertaraf global, Ismail berkata, pemikiran dan imej HPA juga akan mengikut peredaran zaman dan kehendak pasaran.

“Antara langkah yang diambil ialah memindahkan operasi Ibu Pejabat HPA di Jejawi ke Bandar Tun Razak di Kuala Lumpur, Jun ini. Ini adalah perubahan yang kita lakukan untuk terus maju ke depan,” katanya

Popularity: 21% [?]

Close
E-mail It